Rabu, 19 Januari 2011

Faktor-Faktor Perkembangan Kanak-Kanak

Mengikut kajian ahli psikologi, perkembangan kanak-kanak dipecahkan kepada 5 aspek iaitu aspek jasmani, kognitif, emosi, sosial dan rohani. Kelima-lima aspek ini pula adalah berasakn kepada 2 faktor yang utama iaitu dipengaruhi oleh faktor baka dan faktor persekitaran. Perkembangan ini biasanya dikaitkan dengan perkembangan atau perubahan fizikal tubuh badan. Ahli psikologi juga telah berpendapat bahawa tiada individu di dunia ini yang mempunya kadar perkembangan yang sama dan menjadikan faktor baka(nature) dan faktor persekitaran( nurture) sebagai penyebab ketidaksamaan kadar perkembangan individu.





BAKA (NATURE)

Baka ialah gen-gen yang diperturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya. Persekitaran pula merujuk kepada semua pengalaman luar individu tersebut. Kedua-dua faktor ini mempunyai ciri-ciri yang tertentu. Terdapat persamaan yang serupa bagi setiap pertumbuhan. Bagaimanapun, proses perkembangan setiap individu adalah berbeza. Perbezaan ini dapat dilihat melalui aspek fizikal, kognitif, emosi, sosial dan jasmani.

Pengaruh genetik atau baka keatas pertumbuhan dan perkembangan manusia ini sebenarnya dipelopori oleh Johann Gregor Mendel(1822-1889) di Austri. Menurut Norman L. Munn, dan Ee Ah Meng (1996) baka merupakan ciri-ciri yang diturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya melalui gen. Manakala R. Hilgard pula menyatakan bahawa baka ialah ciri-ciri biologi yang diturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya melalui gen. Amran Schienfed mengatakan bahawa baka menentukan persamaan antara ibu bapa dengan anak-anaknya, di kalangan ahli dalam satu kumpulan keluarga dari segi sifat-sifat seperti kebolehan , minat dan kawalan emosi.

Faktor baka atau nature lebih dikenali sebagai gen yang terdiri daripada nukleoprotein yang menentukan baka atau ciri keturunan. Kedudukan nukleoprotein terletak di atas lokus kromosom, yang berupa benang halus yang terdapat dalam nukleus sel sperma (jantan) juga sel ovum (betina). Mengikut kajian, kromosom mengadungi bahan DNA dan RNA dan masing-masing membawa gen-gen yang mengandungi sifat-sifat baka. Gen akan menguasai perkembangan manusia dan memberi sifat unik kepada setiap manusia.(sila lihat gambar 2 dalam bahagian lampiran). Tidak dinafikan bahawa pertumbuhan dan perkembangan individu dipengaruhi oleh faktor genetik individu tersebut. Sebagai contoh saiz dan bentuk badan, ketinggian, rambut dan warna.

Kajian ahli-ahli psikologi Galton(1865), Goddard(1890), Newman(1937) dab Sheldon(1962) telah membuktikan bahawa setiap individu mempunyai kecerdasan dan intelek yang berbeza. Perbezaan kecerdasan di antara individu boleh diperhatikan daripada prestasi pelajar dalam sesuatu kelas. Kajian ahli-ahli psikologi sering mengaitkan perbezaan kecerdasam individu dengan kecerdasan ibu bapa mereka. Biasanya, ibu bapa yang bijak pandai akan melahirkan anak-anak yang juga bijak pandai. Emosi seseorang juga diwarisi daripada baka ibu bapa. Misalnya, ibu bapa yang mempunyai emosi yang kurang stabil dan bersifat pemarah akan melahirkan anak yang agresif dan autokratik.





PERSEKITARAN (NURTURE)

Faktor kedua pula ialah persekitaran atau nurture. Faktor ini merujuk kepada keadaan semasa proses perkembangan kanak-kanak. Ini termasuklah pengalaman sebelum dan selepas lahir. Keadaan sebelum lahir merujuk kepada corak pemakanan, gaya hidup dan kesihatan si ibu. Keadaan selepas lahir pula adalah dipengaruhi oleh cara pemakanan, sosio ekonomi, tahap pendidikan, keluarga, rakan-rakan, ibadat, media dan persekitaran dunia.

Mengikut teori Ekologi Bronfenbrenner (1979,1989), menjelaskan bahawa perkembangan kanak-kanak merangkumi lima jenis sistem ekologi iaitu mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem, dan kronosistem. Menurut Bronfenbrenner, kelima-lima sistem ekologi ini adalah mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.

Mikrosistem merujuk kepada persekitaran terdekat dimana kanak-kanak lebih banyak menghabiskan masa dan interaksi secara langsung di dalam persekitaran itu. Sebagai contoh hubungan interaksi secara langsung antara kanak-kanak dengan ibu bapa, guru dan rakan-rakan. Orang-orang dalam mikrosistem ini memainkan peranan yang tidak kurang penting di dalam perkembangan kanak-kanak.

Mesosistem pula merujuk kepada kaitan antara perhubungan dengan 2 mikrosistem. Hal ini bermaksud satu mikrosistem boleh mempengaruhi interaksi dengan mikrosistem yang lain. Misalnya keadaan yang berlaku di rumah boleh mempengaruhi sikap atau tingkah-laku di sekolah dan sebaliknya. Mengikut Bronfenbenner juga, kanak-kanak yang diberikan galakan untuk berinteraksi dan berkomunikasi dalam mesosistem ini menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada kanak-kanak yang kekurangan peluang.


Ekosistem merupakan pengalaman dengan persekitaran yang tidak melibatkan kanak-kanak secara langsung tetapi keputusan yang diambil dalam persekitaran tersebut memberi kesan kepada kanak-kanak tersebut. Misalnya sekolah dengan pasar raya. Kaedah pengurusan, kemudahan dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasa oleh tempat membeli belah secara tidak langsung mempengaruhi perkembangan sosial kanak-kanak tersebut.

Makrosistem pula adalah perkembangan individu yang melibatkan norma-norma, nilai dan amalan masyarakat itu sendiri. Misalnya dalam sesetengah masyarakat, peranan jantina dititikberatkan (Santrock,2008). Di sesetengah negara, kaum lelaki diberi peranan yang lebih dominan dimana mereka diberi peluang pelajaran dan pekerjaan-pekerjaan yang penting.

Kronosistem pula melibatkan perubahan perkembangan dalam suatu tempoh masa. Sebagai contoh situasi kanak-kanak hari ini lebih berfokus kepada permainan-permainan komputer jika dibanding dengan kanak-kanak pada zaman dahulu kala yang lebih gemar bermain di persekitaran rumah.
Secara keseluruhannya, kelima-lima aspek ini adalah saling berinteraksi antara satu sama lain. Setiap unsur-unsur ini mempengaruhi perkembangan individu, maka setiap individu pasti mempunyai tahap perkembangan yang berbeza-beza.


( sumber : http://ariedrifke.blogspot.com/2009/10/pkk-faktor-faktor-perkembangan-kanak.html )




( sumber : http://www.youtube.com/watch?v=dSVj1j3YvR0&feature=player_embedded )




0 ulasan:

Catat Ulasan